Solat Hajat atau Solat Sunat Hajat adalah solat sunat yang didirikan sekiranya seseorang mempunyai sebarang permintaan atau ingin menolak sesuatu keburukan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah s.w.t atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua rakaat.

Riwayat At-Tirmizi

Dalil lain yang membincangkan mengenai solat sunat hajat adalah seperti berikut.

Daripada Abdullah Ibn Abi Awfa Al-Aslami r.a beliau berkata: Rasulullah s.a.w pada suatu hari telah keluar menuju ke arah kami lalu bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang mempunyai sebarang hajat kepada Allah atau kepada salah seorang daripada makhluk-Nya, maka hendaklah dia berwuduk dan kemudiannya solat dua rakaat lalu dia membaca:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ، سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ . الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ . اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَل مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ أَسْأَلُكَ أَلاَّ تَدَعَ لِي ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا لِي

Maksudnya: Tidak ada tuhan yang diabdikan diri selain Allah, Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mulia. Maha suci Allah, tuhan kepada ‘arasy yang agung. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perkara-perkara yang mendatangkan rahmat-Mu, serta pengampunan-Mu, ghanimah dari setiap kebaikan, dan kesejahteraan daripada semua dosa. Aku juga memohon ampun kepada-Mu, supaya Kau tidak meninggalkan kepadaku satu dosapun kecuali telah Kau ampunkannya. Tidak juga sebarang kegusaran melainkan Kau pemudahkan ia, serta tidak ada hajat yang Kau redha kepadanya melainkan kau laksanakan ia untuk diriku.

Kemudian dia meminta kepada Allah berkenaan perkara dunia dan akhirat, maka sesungguhnya ia ditakdirkan.

Riwayat Ibn Majah (rujukan)

Waktu Solat Hajat

Waktu untuk menunaikan solat hajat ini pula boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada waktu yang dilarang.

Adalah lebih afdal untuk mendirikan solat sunat ini bersendirian pada waktu malam iaitu pada dua per tiga (2/3) malam.

Suasana pada waktu ini lebih sunyi dan boleh mendatangkan khusyuk.

Cara Menunaikan Solat Hajat

Sembahyang sunat hajat didirikan sebanyak dua rakaat dengan satu salam. Sembahyang ini boleh didirikan seorang diri atau secara berjemaah.

1. Niat

Lafaz niat solat sunat ini adalah:

أُصَلِّى سُنَّةَ الْحَاجَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Bacaan rumi: U-shol-lii-sun-na-tal haa-ja-ti rok-‘a-tai-ni lil-laa-hi ta-‘aa-laa

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

2. Rakaat Pertama

Membaca Surah Al-Fatihah (1 kali)

surah-al-fatihah untuk solat hajat

Kemudian, diikuti surah al-Kafirun 1 kali (ringkas) atau 7 kali.

surah al-kafirun

atau boleh juga membaca ayat al-Kursi (1 kali).

ayat kursi solat hajat

Kemudian, rukuk dan sujud seperti biasa.

3. Rakaat Kedua

Membaca surah al-Fatihah (1 kali)

surah-al-fatihah

Kemudian, diikuti surah al-Ikhlas 1 kali (ringkas) atau 5 kali.

surah al-Ikhlas

Kemudian, rukuk, sujud dan tahiyyat akhir.

Setelah memberi salam, bacalah zikir-zikir berikut:

a) Istighfar (sebanyak mungkin)

ِأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ الَّذِيْ لَا إِلَـهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ وَأَتُوْبُ إِلَيْه

Bacaan rumi: Astaghfirullahal-azim al-lathee la-ilaa-ha-illa huwal-hayyul qayyum-mu wa-atubu-ilaihh

Maksudnya: “Aku mohon keampunan kepada Allah Yang Maha Agung, yang tiada tuhan melainkan Allah, Tuhan Yang Hidup dan Yang kekal, aku mohon taubat kepada-Nya.”

b) Selawat (10 kali)

ٍاَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ سَيِّدِنَا مُحَمَّد

Bacaan rumi: Allahumma shalli ‘alaa sayyidinaa Muhammadin wa’alaa aalihi sayyidinaa Muhammad.

Maksudnya: “Ya Allah, limpahkan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas ahli keluarga junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w.”

4. Doa Solat Hajat

Kemudian, bacalah doa mengikut hajat apa yang dipinta (boleh dalam bahasa Melayu) dengan diawali dengan selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w dan diakhiri dengan selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w.

Boleh juga membaca doa berikut:

doa solat hajat

Maksudnya: “Tidak ada tuhan melainkan Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Pemurah, Maha Suci Allah, Tuhan Empunya Arash yang besar. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Aku bermohon kepada-Mu segala yang mewajibkan rahmat-Mu dan segala yang menjamin keampunan-Mu, mendapatkan keuntungan dari segala kebaikan dan selamat dari segala dosa. Janganlah Engkau biarkan adanya dosa pada diriku melainkan Engkau ampunkanlah dan jangan biarkan adanya kesusahan melainkan Engkau lepaskannya dan jangan biarkan adanya hajat yang Engkau meredainya melainkan Engkau makbulkannya wahai yang maha Pengasih di antara yang mengasihi.”

Kemudian, mintalah sebarang hajat yang berbentuk kebaikan yang dikehendaki. Seterusnya, tutuplah doa ini dengan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Akhir Kalam

Mohonlah sebarang hajat yang membawa kita ke arah kebaikan dan jauhkan diri kita dari sebarang keburukan atau musibah.

Jika meminta ingin kaya, biarlah kaya yang tidak leka dengan dunia dan selalu melakukan kebaikan dengan kekayaan itu.

Jika meminta ingin sihat, biarlah sihat yang boleh meningkatkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Wallahu a’lam

Write A Comment